Monday, September 25, 2006

Bahagian Kedua


Anwar Untuk Malaysia (Bahagian Kedua)

Anwar melangkah masuk ke dalam koridor kuasa setelah beliau memenangi kerusi Permatang Pauh pada tahun 1982. Secara berperingkat-peringkat, Anwar diberi kepercayaan menerajui beberapa kementerian seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan. Tempoh Anwar berada di dalam kerajaan ialah 16 tahun yakni satu jangka masa yang lama.

Di kalangan penyebar propaganda Umno, mereka cuba memperlekehkan misi Anwar untuk membawa pembaharuan dan perubahan di dalam pentadbiran negara. Slogan reformasi yang dipopularkan oleh penyokong Anwar dipandang enteng dengan hujah ringkas yang berbunyi begini:

“Kalau Anwar mahu melakukan reformasi, mengapa beliau tidak lakukannya sepanjang 16 tahun berada di dalam kerajaan? Mengapa selepas dipecat dan ditendang keluar baru beliau melaung-laungkan slogan reformasi? Bukankah mentor beliau bernama Mahathir Mohamad? Orang yang beliau kasihi dan hormati. Anwar ini sekadar cuba meraih simpati rakyat sahaja. Beliau hanya beromong kosong, tidak perlulah rakyat menyokong si peliwat ini!”

“Semasa Anwar di dalam kerajaan dulu, bukan main dipujinya Mahathir. Sekitar tahun 1997 semua ucapannya bermula dengan perkataan ‘perdana menteri yang kita kasihi’. Selepas dipecat barulah beliau berani mengutuk orang tua tu! Lagipun sepanjang Anwar menjadi TPM masalah orang Pulau Pinang tidak juga selesai-selesai. Kalau kita beri mandat untuknya menjadi PM, sama sahaja dengan PM-PM Umno dulu.”

Untuk pengetahuan anda, cara Anwar berpolitik lebih kepada ‘play safe’. Beliau tidak mahu terburu-buru bertindak mengikut gerak hati semata-mata. Anwar tahu perubahan hanya boleh dilakukan jika beliau diberi mandat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tanpa jawatan Perdana Menteri, maka amatlah sukar untuknya merencana gerakan reformasi secara menyeluruh. Jawatan Timbalan Perdana Menteri masih tidak cukup kuat untuk melakukan pembaharuan kerana sebarang tindakan perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri sendiri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu).

Cuba kita fikir sejenak, Anwar dipilih ke Parlimen dan berkhidmat di peringkat nasional. Selama 16 tahun itu adakah beliau boleh sewenang-wenangnya mencampuri urusan pentadbiran Pulau Pinang? Sedangkan semua pendapatnya perlu mendapat perkenan Dr. Mahathir. Sebagai contoh ketika Anwar membawa usul pendakwaan ke atas Rafidah Aziz kerana kesalahan rasuah, bukankah pendakwaan itu tidak jadi kerana bantahan dari Mahathir sendiri? Walaupun jawatannya sudah tinggi ketika itu, Anwar tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana kuasa mutlak masih terletak di tangan Perdana Menteri. Anwar amat sedar akan hakikat ini.

Dengan kata lain Anwar tidaklah seperkasa insan yang bernama Khairy Jamaluddin yang berlagak bodoh laksana bos dan membuli bapa mertuanya sendiri. Anwar ketika itu sedang berdepan dengan Perdana Menteri bernama Dr. Mahathir. Adapun Mahathir ini bukanlah Dollah si lembik yang suka tidur ketika sedang menjalankan tugas. Kita semua sedia maklum bahawa Mahathir merupakan seorang yang amat tegas, cerdas dan tahu membuat keputusan. Dalam hal menangani isu kemiskinan orang Melayu Pulau Pinang dan Kedah, Mahathir lebih gemar menyerahkan permasalahan tersebut kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikannya.

Anwar tidak boleh mencampuri hal-ehwal negeri Pulau Pinang melainkan Mahathir memberikan lampu hijau kepadanya untuk berbuat demikian. Oleh itu beliau telah mengambil keputusan tunggu dan lihat sambil berazam untuk menyelesaikan semua kes-kes yang membabitkan salahlaku rasuah, kronisme dan nepotisme sebaik sahaja selamat ditabalkan sebagai PM.

Namun demikian, matlamatnya untuk membanteras segala penyelewengan yang membabitkan kepentingan rakyat telah dihidu oleh Mahathir dan Daim Zainuddin. Inilah yang menyebabkan Daim dan Mahathir nekad menentang usaha Anwar yang mahu menghapuskan korupsi yang menjadi duri dalam daging di dalam kerajaan Malaysia.
Sekiranya Anwar mempunyai kecenderungan untuk menyiasat semua kes-kes rasuah yang melibatkan UMNO-BN, maka habis terdedahlah segala pekung, kudis dan kurap salahlaku mereka. Kita semua tahu bahawa politik wang sudah lama terpasak kukuh di dalam tulang belulang United Malay National Organisations, dan sebarang siasatan mengenainya bakal mengheret pemimpin-pemimpin besar Umno ke muka pengadilan.

Demi mencegah tindakan drastik Anwar yang pasti mengaibkan Umno, maka Mahathir tiada pilihan. Beliau terpaksa merangka sebuah konspirasi kotor lagi hina bagi menjatuhkan Anwar. Apa yang terjadi selepas itu adalah sejarah yang sudah tersurat di dalam diari politik Malaysia. Rakyat menjadi saksi betapa orang yang hampir dinobatkan sebagai Perdana Menteri Kelima ini telah diaib, dihina dan dihumban ke dalam penjara Sungai Buloh. Dan di situlah bermulanya epik baru dalam sejarah Malaysia pasca merdeka.

Bersambung

Tun Adil